
Penjagaan Kulit Ibu Hamil: Bahan Skincare Yang Perlu Dielakkan Dan Pilihan Lebih Selamat
Produk skincare mungkin kelihatan selamat untuk digunakan, tetapi tidak semua daripadanya sesuai untuk wanita hamil. Ada beberapa bahan yang boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan janin jika tidak digunakan dengan berhati-hati.
Semasa hamil, wanita akan mengalami pelbagai perubahan, bukan sahaja dari segi emosi dan fizikal, tetapi juga perubahan pada keadaan kulit. Ini berlaku disebabkan oleh perubahan hormon yang sangat ketara sepanjang tempoh kehamilan. Hormon seperti estrogen dan progesteron akan meningkat secara mendadak, dan ini boleh memberi kesan berbeza terhadap kulit setiap individu.
Sesetengah wanita akan mendapati kulit mereka menjadi lebih cerah, bersih dan berseri. Fenomena ini sering dipanggil ‘pregnancy glow’. Namun, tidak semua mengalami perubahan positif. Ada juga yang mengalami masalah kulit seperti jerawat, pigmentasi atau kulit jadi lebih sensitif daripada biasa.
Walaupun rutin penjagaan kulit boleh bantu merawat masalah tersebut, tetapi tidak semua produk sesuai untuk digunakan sepanjang kehamilan. Oleh itu, penting untuk anda ketahui bahan-bahan yang perlu dielakkan demi kesihatan kandungan dan diri sendiri.
Retinoid: Keluarga Vitamin A
Retinoid ialah bahan daripada keluarga Vitamin A yang digunakan untuk merawat jerawat, kedutan dan tona tidak sekata. Ia berfungsi dengan cara mempercepatkan pembaharuan sel kulit dan membuat kulit jadi lebih licin, cerah dan sekata.
Terdapat dua kategori utama retinoid, iaitu:
- Jenis OTC (Over-the-Counter) seperti Retinol, Retinal, Retinyl Acetate dan Retinyl Palmitate
- Jenis preskripsi seperti Tazarotene, Tretinoin, Adapalene dan Isotretinoin
Pengambilan retinoid semasa mengandung boleh mendedahkan kandungan kepada Fetal Retinoid Syndrome. Isotretinoin pula boleh menyebabkan perkembangan janin yang tidak normal (kesan teratogenik) seperti kecacatan sistem saraf pusat.
Risiko serius ini menyebabkan pengambilan semua bentuk retinoid, sama ada secara oral atau sapuan sangat tidak digalakkan untuk wanita hamil atau yang sedang merancang untuk hamil.
Alpha Arbutin: Boleh Bertukar Jadi Hydroquinone
Alpha arbutin merupakan bahan pencerah kulit semula jadi yang diperoleh daripada daun bearberry. Ia bertindak menghalang enzim tyrosinase yang terlibat dalam menghasilkan melanin untuk memberi warna pada kulit. Namun, alpha arbutin ini boleh bertukar menjadi hydroquinone apabila diserap oleh kulit.
Hydroquinone ialah bahan pencerah kuat yang dikawal ketat dan disenaraikan di bawah Akta Racun 1952. Ia berpotensi memberikan kesan sampingan seperti:
- Ochronosis
- Potensi carcinogenic iaitu potensi yang boleh menyebabkan kanser
Walaupun alpha arbutin dianggap selamat untuk orang yang tidak hamil dalam kepekatan tertentu, penggunaannya semasa kehamilan masih berisiko. Atas faktor keselamatan, pakar dermatologi mengesyorkan untuk elak pakai produk yang mengandungi bahan ini semasa hamil.
Kajian Klinikal Yang Menyokong Larangan Ini
Larangan terhadap retinoid dan hydroquinone adalah disokong oleh kajian klinikal dan garis panduan kesihatan antarabangsa.
- National Organization for Rare Disorders (NORD) menyatakan bahawa retinoid boleh menyebabkan kecacatan kongenital yang serius jika diambil semasa hamil.
- Journal of Family Physicians of Canada (2021) melaporkan bahawa retinoid dan hydroquinone merupakan dua bahan utama dalam skincare yang perlu dielakkan oleh wanita hamil kerana kadar penyerapan sistemiknya yang tinggi dan potensi kesan buruk terhadap perkembangan janin.

Pilihan Bahan Yang Selamat Digunakan Semasa Hamil
Semasa hamil, perubahan hormon boleh menyebabkan masalah kulit seperti jerawat, kulit kusam, atau pigmentasi. Walaupun sesetengah bahan aktif perlu dielakkan, masih banyak pilihan yang selamat dan berkesan.
Berikut antara bahan aktif yang boleh digunakan:
✅ Vitamin C
- Tinggi antioksidan untuk mencerahkan kulit secara lembut dan melindungi daripada kerosakan radikal bebas.
- Selamat digunakan secara topikal dan sesuai untuk masalah kulit kusam atau tona tidak sekata.
✅ Niacinamide
- Mengawal pengeluaran minyak berlebihan, mengurangkan kemerahan dan bantu pudarkan pigmentasi.
- Bersifat menenangkan dan sesuai untuk semua jenis kulit, termasuk kulit sensitif.
✅ Lactic Acid
- AHA yang lebih lembut berbanding glycolic acid.
- Menggalakkan pengelupasan ringan dan memperbaiki tekstur kulit jadi lebih halus.
✅ Zinc Oxide dan Titanium Dioxide
- Bahan pelindung matahari fizikal
- Bertindak sebagai penghalang UV secara fizikal dan diiktiraf selamat untuk wanita hamil.
Semasa memilih produk, pastikan ia:
✔ Bebas daripada alkohol berlebihan dan pewangi tiruan
✔ Diuji secara dermatologi untuk kulit sensitif
✔ Mempunyai label yang jelas menunjukkan selamat untuk ibu hamil
Kehamilan bukan alasan untuk berhenti menjaga kulit. Apa yang penting ialah memastikan produk yang digunakan selamat dan tidak memberi risiko kepada kandungan.
Elakkan bahan yang boleh memberi kesan negatif kepada janin. Sekiranya anda ragu-ragu, dapatkan nasihat daripada pakar dermatologi atau doktor terlebih dahulu.
Kesihatan ibu dan bayi haruslah menjadi keutamaan. Dengan memilih produk yang betul, kulit boleh kekal sihat, terpelihara dan berseri sepanjang tempoh kehamilan.