Pada tarikh 25 Mei 2024 bersamaan hari Sabtu, telah berlangsung satu seminar yang dianjurkan oleh Glowwe yang diberi nama Glowwe Premium Event. Seminar ini bertempat di Glowwe Studio & Event Space, Bandar Baru Ampang, Selangor. Glowwe Premium Event adalah seminar yang diadakan secara khusus untuk Glowwe Premium Members yang dihadiri oleh 18 orang peserta kesemuanya.
Untuk pengetahuan anda, ia merupakan seminar kedua Glowwe Premium Event yang diadakan secara bersemuka bertujuan memberikan pendedahan mendalam tentang kepentingan dan cara penggunaan sunscreen yang betul.
Seminar ini bermula dengan sesi pendaftaran pada pukul 9 pagi, di mana setiap peserta diberikan bahan seminar yang menarik seperti buku Kamus Kulit, penanda buku eksklusif, dan beberapa sampel produk seperti Hada Labo Premium Whitening Trial Set dan Hada Labo AHA+BHA.
Sebaik sahaja semua peserta berkumpul, acara dimulakan dengan ucapan aluan daripada Puan Mary, yang menyampaikan hasrat dan tujuan utama penganjuran seminar ini.
Sesi Pertama: Cara Pilih Sunscreen
Sesi pertama dimulakan dengan ice breaking yang dikendalikan oleh Puan Mary. Para peserta diminta untuk memperkenalkan diri secara ringkas, diikuti dengan aktiviti pertama yang melibatkan peserta berkongsi tentang maklumat umum yang mereka tahu berkaitan sunscreen. Aktiviti ini bertujuan untuk menilai pengetahuan asas peserta sebelum memulakan perbincangan yang lebih mendalam.
Puan Mary menekankan bahawa memilih sunscreen yang sesuai bukan sahaja bergantung pada jenis kulit tetapi juga pada aktiviti harian. Sebagai contoh, mereka yang kerap terdedah kepada sinar UV perlu memilih sunscreen dengan SPF yang lebih tinggi. Beliau juga berkongsi tip untuk mengenal pasti UV filter yang terdapat dalam sunscreen dan cara untuk membaca label produk dengan betul.
Sesi Kedua: Cara Pakai Sunscreen
Selepas rehat dan minum pagi, seminar diteruskan dengan sesi kedua. Puan Mary menunjukkan cara pakai sunscreen dengan betul, termasuk kuantiti yang perlu digunakan dan teknik aplikasi yang betul. Penggunaan sunscreen dengan kadar yang tidak mencukupi, boleh menyebabkan keberkesanannya berkurang.
Beliau juga menekankan pentingnya penggunaan sunscreen pada semua bahagian yang terdedah kepada sinar UV, termasuk wajah, telinga, leher, dan tangan. Beliau turut mengingatkan bahawa sunscreen perlu dipakai setiap hari, tanpa mengira cuaca atau aktiviti yang dilakukan.
Sesi Ketiga: Cara Ulang Pakai Sunscreen
Sesi ini membincangkan tentang cara untuk membersihkan sunscreen dengan berkesan serta cara untuk mengulang pakai sunscreen sepanjang hari. Beliau menjelaskan bahawa sunscreen perlu diulang pakai setiap dua hingga tiga jam untuk mendapat kadar perlindungan yang beterusan daripada bahaya sinar UV.
Puan Mary turut berkongsi beberapa teknik praktikal untuk mengulang pakai sunscreen tanpa mengganggu solekan. Beliau mencadangkan penggunaan sunscreen dalam bentuk semburan atau stick untuk memudahkan aplikasi semula. Peserta juga diberikan demonstrasi secara langsung tentang cara-cara mengulang pakai sunscreen dengan betul.
Aktiviti Skinvestigation dan Sesi Soal Jawab
Salah satu aktiviti menarik sepanjang seminar ini berlangsung adalah “Sun Detective,” di mana peserta dibahagikan kepada lima kumpulan serta diberikan satu sunscreen untuk setiap kumpulan. Setiap kumpulan perlu membentangkan ciri-ciri sunscreen yang diberikan, termasuk tekstur, kadar perlindungan, dan jenis UV filter yang terkandung di dalamnya.
Antara sunscreen yang diberikan kepada setiap kumpulan adalah:
- Altruist Face Fluid Sunscreen SPF 30
- Hansaegee Nature Aloe Vera Sunscreen SPF 50+ PA++++
- True To Skin Sunfriends Sunscreen Gel Spf 50 Pa++++
- Biore UV Aqua Rich Watery Essence SPF50+ PA++++
- Kyut Skin Sunscreen Stick SPF 50+ PA++++
Aktiviti ini bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman peserta tentang pelbagai jenis sunscreen, tetapi juga menggalakkan kerjasama antara mereka. Peserta diberikan pendedahan menggunakan alat UV Reveal yang dapat melihat keberkesanan litupan sunscreen yang dipakai.
Sesi soal jawab di akhir slot memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang sebarang keraguan atau persoalan yang mereka hadapi mengenai penggunaan sunscreen. Glowwe juga menyediakan hadiah misteri berupa produk penjagaan kulit yang eksklusif kepada setiap peserta yang hadir.
Seminar Glowwe Premium Event yang bertajuk “Sunscreen: Cara Pilih, Cara Pakai, Cara Ulang Pakai” berjaya mencapai objektifnya dalam memberikan pendidikan dan kesedaran tentang kepentingan penggunaan sunscreen. Dengan perkongsian berharga yang disampaikan oleh Puan Mary dan sesi interaktif yang bermanfaat, para peserta pulang dengan pengetahuan yang lebih mendalam dan keyakinan untuk mengamalkan rutin penjagaan kulit yang lebih baik.
Pihak Glowwe juga menerima maklum balas positif daripada peserta-peserta yang hadir ke seminar tersebut. Dengan penganjuran acara seperti ini, Glowwe berharap dapat membantu peserta mencapai kulit yang lebih sihat, cantik dan glowing.