
Jerawat Hormon Di Kalangan Remaja: Punca, Ciri Dan Rawatan Berkesan
Pernah rasa kulit semakin berminyak dan jerawat timbul secara tiba-tiba, terutamanya bila hampir waktu haid atau sedang stres? Jerawat seperti ini sering muncul di kawasan tertentu, berulang-ulang walaupun rutin penjagaan wajah sudah teratur. Boleh jadi itu ialah jerawat hormon.
Jerawat hormon atau hormonal acne bukan sekadar masalah kulit biasa. Ia berpunca daripada perubahan hormon dalam tubuh yang kerap dialami oleh golongan remaja. Dalam tempoh akil baligh, hormon dalam badan mula berubah secara mendadak dan kulit menjadi tempat pertama yang menunjukkan tanda-tandanya.
Apa Itu Jerawat Hormon?
Jerawat hormon merujuk kepada jerawat yang muncul apabila berlaku ketidakseimbangan atau perubahan hormon yang ketara dalam badan. Perubahan ini merangsang kelenjar sebum untuk menghasilkan minyak secara berlebihan. Bila minyak berlebihan bercampur dengan sel kulit mati dan bakteria, pori-pori mudah tersumbat dan menyebabkan jerawat terbentuk.
Bentuk jerawat ini boleh jadi ringan seperti whiteheads dan blackheads, atau lebih teruk seperti benjolan merah besar yang menyakitkan (cystic acne).
Kenapa Remaja Lebih Cenderung Alami Jerawat Hormon?
Fasa akil baligh adalah tempoh perubahan hormon yang paling ketara dalam hidup seseorang. Hormon androgen yang meningkat ketika fasa ini mengaktifkan kelenjar minyak dan menyebabkan pengeluaran sebum bertambah.
Namun, jerawat hormon bukan hanya dialami oleh remaja sahaja. Ia juga boleh berlaku semasa kitaran haid, kehamilan, menopaus atau akibat sindrom PCOS (Polycystic Ovarian Syndrome). Dalam semua keadaan ini, hormon memainkan peranan utama dalam mencetuskan jerawat.
Adakah Tekanan Emosi Juga Boleh Jadi Punca?
Ya. Tekanan emosi seperti stres boleh menyebabkan peningkatan hormon cortisol dalam badan. Hormon ini juga merangsang kelenjar minyak dan menyumbang kepada pembentukan jerawat. Selain itu, stres boleh meningkatkan keradangan dalam badan, menjadikan jerawat lebih mudah meradang dan lambat sembuh.

Cara Mengenal Pasti Jerawat Hormon
Untuk membezakan jerawat hormon daripada jenis jerawat lain, perhatikan ciri-cirinya:
- Lokasi:
- Bagi remaja, ia sering muncul pada bahagian zon-T (dahi, hidung dan dagu)
- Bagi orang dewasa, ia lebih tertumpu pada bahagian pipi dan sekitar rahang
- Bentuk:
- Jerawat kecil seperti whiteheads dan blackheads untuk kes ringan
- Benjolan besar dan dalam (cyst) untuk kes yang lebih serius
- Kitaran:
- Muncul secara berkala, contohnya setiap kali sebelum haid
- Ia boleh bertambah teruk ketika fasa akil baligh, tekanan emosi atau kurang tidur
Bahan Aktif Yang Berkesan Untuk Rawat Jerawat Hormon
Memilih produk yang betul adalah langkah penting untuk mengawal dan merawat jerawat hormon. Berikut ialah bahan aktif yang disarankan:
1. Salicylic Acid
- Bersifat larut minyak (oil-soluble)
- Mempunyai sifat antibakteria dan anti-radang
- Guna 2 hingga 3 kali seminggu untuk bersihkan pori dan kecutkan jerawat
2. Niacinamide (Vitamin B3)
- Mengawal pengeluaran minyak berlebihan
- Mengurangkan kemerahan dan keradangan
- Selamat digunakan setiap hari mengikut kadar yang sesuai
3. Sulfur
- Bahan antimikrob dan bantu keringkan jerawat
- Sesuai digunakan sebagai spot treatment
- Sering digabungkan dengan bahan lain untuk kesan lebih berkesan
4. Benzoyl Peroxide
- Bunuh bakteria penyebab jerawat dengan berkesan
- Sesuai untuk jerawat yang meradang dan merah
- Mulakan dengan kepekatan kadar rendah untuk elakkan iritasi seperti 2.5% hingga 5%
Merawat jerawat hormon memerlukan masa. Walaupun produk yang digunakan berkesan, kulit biasanya mengambil masa sekitar 4 hingga 6 minggu untuk menunjukkan perubahan. Yang penting perlu konsisten untuk amalkan rutin penjagaan kulit dengan penggunaan produk dan bahan yang sesuai.
Elakkan juga menggabungkan terlalu banyak bahan aktif dalam satu rutin. Perkenalkan satu demi satu bahan kepada kulit supaya ia tidak iritasi.
Dengan pemahaman yang betul dan pemilihan produk yang sesuai, jerawat hormon boleh dikawal dan dirawat. Jika anda masih tidak pasti tentang produk atau rutin yang sesuai, dapatkan pandangan daripada pakar.