Review: Cosrx Oil-Free Moisturizing Lotion Dengan Birch Sap
Pandangan umum mengenai produk
COSRX Oil-Free Moisturizing Lotion dengan Birch Sap adalah pelembap yang memiliki tekstur losen yang ringan, cepat menyerap dan melembapkan kulit sesuai untuk kulit berminyak, kombinasi ke arah berminyak dan kulit yang mengalami masalah dehydrated atau cenderung berjerawat.
Semasa mencuba sesuatu produk baru, tabiat yang baik untuk diamalkan adalah melihat senarai kandungan bahan untuk mencari bahan yang tidak sesuai dengan kulit wajah, kadar bahan aktif yang digunakan sekiranya dinyatakan dan mencari bahan yang membantu keadaan kulit wajah anda.
Walau bagaimanapun, pastikan anda hanya menjadikan senarai bahan sebagai panduan sahaja. Jangan terlalu obses dengan senarai bahan kerana senarai bahan masih tidak menentukan kesesuaian produk terhadap kulit sehinggalah anda mencubanya.
Pada bahagian hadapan botol ini telah dilabelkan bahawa produk ini mengandungi 70.85% Betula Platyphylla Japonica Juice atau birch sap yang terkenal dengan sifat yang menenangkan dan melegakan. Oleh itu, untuk kulit bermasalah seperti berjerawat, pelembap ini sesuai untuk dijadikan sebagai salah satu pelembap pilihan anda.
Selain daripada birch sap, produk ini turut mengandungi Allantoin, Panthenol dan Sodium Hyaluronate bagi memaksimakan fungsinya yang bukan sahaja melembapkan malah melegakan kulit yang sedang meradang dan menyeimbangkan penghasilan minyak berlebihan.
Walaupun produk ini dinamakan “Oil-free” tetapi pada kandungan bahan masih terdapat Medica Limonum (Lemon) Peel Oil dan Melaleuca Alternifolia (Tea Tree) Leaf Oil yang fungsi utamanya sebagai bahan antijerawat. Tetapi, tidak perlu khuatir kerana hasil akhir produk ini tidak meninggalkan rasa “berminyak” pada wajah.
Bagaimana glowwe menggunakan produk ini?
Produk ini boleh dipakai siang dan malam.
Siang: Dipakai sebelum pelindung suria.
Malam: Dipakai pada langkah akhir rutin malam anda.
Perkara lain yang perlu diberi perhatian mengenai produk
Harga: RM40-50
Bau: Cosrx Oil-Free Moisturizing Lotion mempunyai bau seperti herba yang berkemungkinan tinggi adalah daripada lemon peel oil dan juga tea tree oil. Bagi glowwe, bau ini tidak mendatangkan masalah langsung dan tidak memberi kesan kepada keberkesanan produk. Walau bagaimanapun mungkin ada individu yang tidak menyukai atau tidak serasi dengan pewangi (fragrance) di dalam produk.
Warna: Ia memiliki warna putih seakan transparent dan apabila dipakai, ia tidak meninggalkan sebarang warna pelik pada kulit wajah.
Pembungkusan: Datang dengan 100ml / 3.38 fl.oz., di dalam botol dan mempunyai pam. Produk ini bukan sahaja bagus dari segi kebersihan (hygiene) sesuatu produk malahan anda juga dapat mengawal kuantiti/jumlah yang ingin dipakai pada wajah.
Cruelty-Free & Vegan: Ya. Menurut Cosrx, pelembap ini juga bersifat cruelty-free dan vegan. Cruelty-free bermaksud pelembap ini tidak menjalankan ujian ke atas haiwan dan vegan bermaksud ia tidak mempunyai bahan yang berasal daripada haiwan.
Perkara yang glowwe suka mengenai produk
Tekstur dan kelikatan: Produk ini sangat ringan pada wajah. Untuk kulit berminyak, ia memberikan perasaan seperti tidak memakai pelembap. Walaupun ia cepat meresap tetapi ia tidak meninggalkan sebarang kesan berminyak pada wajah.
Sangat melembapkan: Dengan tekstur yang ringan, kulit berminyak mungkin cenderung meletakkan produk ini terlalu banyak kerana khuatir ia tidak cukup melembapkan, tetapi hakikatnya, 1-2 pam produk ini (ikut saiz wajah anda) sudah cukup untuk memberikan kelembapan tersebut. Tidak rasa berat pada wajah dan meninggalkan kulit menjadi lebih lembut dan anjal selepas pemakaian.
Lembut pada wajah: Sebelum mencuba produk ini, glowwe telah melakukan patch test terlebih dahulu ke atas kulit dan pelembap ini tidak menunjukkan kesan negatif atau iritasi kepada kulit sensitif. Namun begitu, glowwe mencadangkan dan menggalakkan untuk anda juga melakukan patch test sebelum mencubanya kerana setiap kulit adalah berbeza.
Penggunaan: Bekas yang mudah dibawa ke mana sahaja, selamat dan menitikberatkan kebersihan adalah penting untuk glowwe. Selain itu, jumlah yang ingin dipakai juga boleh dikawal! Produk ini juga mempunyai saiz yang besar dan harga yang berpatutan. Sesuai dipakai pada musim panas kerana ia memastikan kulit kekal lembap tetapi minyak berlebihan masih terkawal.
Perkara yang glowwe tidak suka mengenai produk
Walaupun produk ini adalah produk yang bagus ketika musim panas, tetapi untuk kulit kombinasi yang cenderung kering apabila musim sejuk atau berada dalam suasana sejuk yang lama, produk ini tidak cukup untuk mengekalkan kelembapan kulit.
Untuk kulit kering, anda memerlukan tekstur pelembap yang lebih tebal kerana jika anda mahu menggunakan pelembap ini anda mungkin perlu menggunakan banyak lapisan!
Kesimpulan dan penilaian
- ⭐⭐⭐⭐ 4/5
- Sesuai untuk kulit berminyak, kombinasi ke arah berminyak, kulit yang mengalami masalah dehydrated dan cenderung berjerawat.
- Ringan, cepat diserap dan tidak meninggalkan rasa berminyak
- Sesuai untuk cuaca panas tetapi tidak mencukupi untuk cuaca sejuk