Perlukah Pakai Sunscreen 2 Jari?
Glowwe ada menerima banyak soalan tentang pelindung suria (sunscreen). Antara soalan yang popular ditanya adalah cara pilih sunscreen yang sesuai dengan jenis kulit, cara betul pakai sunscreen, kuantiti sebenar penggunaan sunscreen, perlukah pakai sunscreen ketika memasak dan sebagainya.
Namun dalam artikel kali ini, glowwe akan berikan ulasan tentang sebab pelindung suria perlu dipakai sebanyak 2 jari.
Two finger rules of sunscreen
Mana datangnya peraturan untuk pakai pelindung suria dalam kuantiti dua jari untuk kawasan muka ini?
Apabila pelindung suria dihasilkan, ia perlu menjalani ujian makmal (sunscreen testing) yang khusus untuk menentukan kadar perlindungan yang diberikan oleh pelindung suria tersebut.
Ketika ujian ini dilakukan, pelindung suria disapu sebanyak 2 miligram pada 1 sentimeter persegi kawasan kulit sukarelawan. Kawasan kulit yang dipakaikan sunscreen itu kemudiannya akan didedahkan kepada lampu khusus yang menghasilkan sinar ultra ungu. Bilangan saat yang diperlukan untuk kulit alami kemerahan apabila terkena sinar ultra ungu apabila menggunakan pelindung suria dibahagikan dengan bilangan saat yang diperlukan untuk kulit alami kemerahan apabila tidak menggunakan pelindung suria. Beginilah cara kadar perlindungan sunscreen ditentukan.
Disebabkan sunscreen testing menggunakan kadar 2 miligram pada 1 sentimeter persegi kulit, maka kadar yang sama menjadi panduan untuk menggunakan pelindung suria agar perlindungan yang tertera pada label boleh dicapai. Menggunakan pelindung suria sebanyak 2 jari (“two fingers” of sunscreen) didapati boleh memberikan kuantiti yang hampir sama seperti 2 miligram pada 1 sentimeter untuk seluruh wajah.
Di sinilah datangnya peraturan 2 jari untuk memakai pelindung suria.
Harus juga diingat, bukaan atau lubang muncung botol atau bekas pelindung suria mungkin juga berbeza saiznya. Saiz dan panjang jari pun boleh berbeza.
Lihat gambar berikut, anda akan faham apa yang dimaksudkan.
Disebabkan itu, kuantiti 2 jari tersebut juga boleh jadi berbeza.
Oleh sebab itu, anda perlu pakai dahulu dengan kuantiti 2 jari untuk keseluruhan wajah. Jika ada kawasan wajah yang dirasakan tidak dilitupi oleh pelindung suria dengan baik, tambahkan kuantiti. Jika rasa berlebihan, boleh kurangkan sedikit kuantitinya.