Glowwe Premium Event Kali Ke-3 – Cara Susun Turutan Produk untuk Rutin Harian dan Mingguan
Pada hari Sabtu yang lalu bersamaan 21 September 2024, Glowwe telah menganjurkan satu kelas bersemuka khas untuk ahli premium Glowwe bertajuk Cara Susun Turutan Produk untuk Rutin Harian dan Mingguan yang dikendalikan oleh Puan Mary. Kelas ini telah diadakan di Glowwe Studio and Event Space, Ampang, dan berlangsung dari jam 10:00 pagi hingga 1:00 petang.
Dengan penyertaan yang aktif daripada para peserta, kelas ini memberi fokus kepada topik penting dalam penjagaan kulit iaitu cara menyusun rutin yang betul dan berkesan bagi memastikan produk yang digunakan memberikan hasil terbaik untuk kulit.
Sesi Pertama: Pendaftaran dan Aktiviti Ice Breaking
Pendaftaran dibuka seawal jam 9:30 pagi. Suasana di ruang kelas bertambah meriah apabila ahli premium Glowwe mula berkumpul. Setiap peserta menerima bahan kelas dan kit eksklusif sebagai tanda penghargaan atas kehadiran mereka.
Kelas dimulakan dengan aktiviti ice breaking. Aktiviti ini bertujuan memperkenalkan para peserta antara satu sama lain dan mewujudkan suasana interaktif. Peserta diminta untuk memperkenalkan diri mereka dan berkongsi jenama produk penjagaan wajah yang paling digemari. Pelbagai jenama terkemuka disebut, termasuk jenama tempatan dan antarabangsa, memperlihatkan minat peserta terhadap produk berkualiti yang sesuai dengan keperluan kulit masing-masing.
Pengenalan kepada Turutan Produk
Selepas sesi ice breaking, Puan Mary menerangkan pentingnya memahami fungsi setiap produk penjagaan kulit. Ramai pengguna keliru tentang turutan yang sesuai, terutamanya apabila menggunakan pelbagai produk dalam satu rutin. Beliau menekankan bahawa penyusunan produk yang betul adalah kunci untuk mencapai kulit yang sihat dan berseri.
Turutan yang salah bukan sahaja boleh mengurangkan keberkesanan produk, malah dalam beberapa kes boleh menyebabkan iritasi atau ketidakselesaan pada kulit. Justeru, mengetahui cara susun turutan produk yang tepat membantu memastikan setiap produk dapat bertindak pada kulit sesuai dengan fungsinya.
Rutin Harian
Puan Mary memulakan perbincangan mengenai rutin harian yang merupakan asas kepada penjagaan kulit. Selain rutin asas, Puan Mary turut membincangkan kepentingan produk kategori merawat, iaitu produk yang dikhususkan untuk menangani masalah kulit tertentu seperti jerawat, kedutan, bintik hitam atau kulit kusam.
Puan Mary turut menekankan bahawa pemilihan produk haruslah berdasarkan jenis kulit dan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, kulit berminyak mungkin lebih sesuai menggunakan produk ringan seperti gel atau pelembap bebas minyak, manakala kulit kering memerlukan pelembap yang lebih tebal dan berkrim.
Aktiviti Susun Turutan Produk Bersama Ahli Kumpulan
Dalam kelas ini, salah satu aktiviti yang menarik adalah aktiviti susun turutan produk yang telah disediakan melibatkan kerjasama antara peserta dalam kumpulan. Aktiviti ini dirancang untuk membantu para peserta memahami dengan lebih jelas cara menyusun rutin penjagaan kulit harian dan mingguan yang betul. Setiap kumpulan diminta untuk berbincang dan menyusun turutan produk tersebut mengikut penggunaan yang betul dalam rutin harian dan mingguan. Para peserta perlu memutuskan produk mana yang sesuai digunakan pada rutin sebelah pagi dan malam.
Kemudian,Puan Mary akan memberikan maklum balas kepada setiap kumpulan, menjelaskan mana-mana susunan produk yang mungkin boleh diperbaiki.
Kelas berakhir dengan sesi bergambar bersama semua peserta di mana setiap peserta dapat merakam kenangan indah setelah menghadiri kelas mengenai cara menyusun turutan produk untuk rutin harian dan mingguan.
Kelas Cara Susun Turutan Produk untuk Rutin Harian dan Mingguan berjaya mencapai objektifnya dengan memberikan pemahaman yang lebih mendalam kepada para peserta tentang pentingnya menyusun rutin penjagaan kulit dengan betul. Puan Mary berjaya membimbing peserta melalui setiap langkah penting dalam rutin harian dan mingguan, serta menjelaskan kesalahan yang perlu dielakkan.
Kelas ini bukan sahaja memberi ilmu praktikal kepada peserta, malah turut memperkukuhkan komitmen Glowwe untuk menyediakan platform pendidikan penjagaan kulit yang berkualiti tinggi.