Di dalam saluran glowwe, masih ramai yang bertanya adakah wuduk sah jika sunscreen yang dipakai dibilas dengan air sahaja?
Ramai yang beranggapan bahawa sunscreen yang berlabel mesra wuduk boleh dibersihkan dengan air sahaja. Tetapi sebenarnya, sunscreen yang berlabel mesra wuduk ini adalah lebih mudah ditanggalkan kerana ia tidak begitu melekat dan melekit pada kulit berbanding sunscreen yang lain.
Berdasarkan penelitian terhadap bahan di dalam produk penjagaan kulit terutamanya sunscreen di dalamnya boleh terkandung:
- Bahan yang bersifat minyak (emolien)
- Polimer
- Film-forming agent
- Penapis sinar ultra ungu (UV filter) dan bahan-bahan lain
Semua bahan-bahan ini berfungsi menjadikan tekstur sunscreen mudah digunakan, rata dengan baik pada kulit dan membentuk lapisan pada permukaan kulit agar produk menjalankan fungsi perlindungan dengan lebih lama.
Bahan-bahan ini tidak menyebabkan sunscreen bersifat kekal (permanent) pada kulit. Tidak begitu.
Memang sunscreen boleh berkurang kerana tertanggal jika bergeser, terkena tangan atau material lain seperti tudung. Malah dalam tempoh tertentu lapisan sunscreen pada kulit itu sendiri memang boleh berkurang tetapi tidak tanggal sepenuhnya. Cuma sifat bahan-bahan begini jika tidak dibersihkan dengan sempurna, ia masih boleh ada pada kulit secara bertompok (patchy residue).
Ditambah pula tekstur sunscreen juga ada jenis likat dan matte dan kita juga cenderung pakai sunscreen dalam kuantiti saranan iaitu sebanyak 2 jari (two-finger technique). Pasti ada saki baki sunscreen pada kulit.
Apatah lagi apabila pengguna sunscreen ulang pakai (re-apply) setiap 2 ke 4 jam, saki baki sunscreen ini sudah tentu ada pada kulit.
Disebabkan kita mahu ambil wuduk dengan sempurna agar ia sah, perlulah kita usahakan untuk bersihkan kulit sebelum berwuduk dengan sempurna.
Anda perlu bersihkan sunscreen yang mengandungi bahan-bahan yang sudah dinyatakan di atas. Untuk membersihkannya sebenarnya tidak sukar dan membebankan.
Anda hanya perlu gunakan produk pencuci muka yang ada surfaktan (surfactant) sahaja. Antara pilihan yang ada untuk bersihkan sunscreen ialah:
- Pencuci muka biasa
- Micellar water
- Makeup wipes
- Makeup remover
- Double cleansing – guna cleansing oil dahulu kemudian diikuti dengan pencuci muka biasa
Hukum anggota wuduk yang terdapat pelembab dan krim pelindung suria berdasarkan Jabatan Wilayah Mufti Persekutuan adalah:
‘Jika terdapat pada anggota wuduk suatu bahan kosmetik yang menghalang air wuduk daripada sampai ke kulit atau yang mengubah air wuduk itu, maka wajib ditanggalkan dengan sempurna sebelum basuhan wuduk. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan wuduk itu tidak sah. Namun begitu dimaafkan jika kesan bahan kosmetik itu, sama ada pelembab atau krim pelindung suria, terlalu nipis sehingga tidak menghalang air daripada kulit dan terlalu sedikit sehingga tidak mengubah sifat air mutlak tersebut.’
Rujuk di sini untuk ketahui dengan lebih lanjut: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3081-al-kafi-1080-hukum-anggota-wuduk-terdapat-pelembab-dan-krim-pelindung-matahari
Bagi anda yang masih yakin bahawa sunscreen boleh dibilas dengan air sahaja, ia bergantung kepada anda. Namun glowwe menasihati agar anda lebih teliti dengan bahan yang ada di dalam sunscreen tersebut.
Jika anda tidak tahu, tidak faham atau tidak mahu tahu tentang bahan di dalam sunscreen, glowwe cadangkan sama-sama kita berusaha untuk pastikan wuduk yang diambil itu sempurna. Jadi gunalah kaedah yang dicadangkan di atas.
No Comments