Cara Cegah dan Rawat Mata Bengkak (Puffy Eyes)
Apakah itu mata bengkak (puffy eyes)?
Bengkak mata? Terma mata bengkak atau puffy eyes atau biasanya dikenali sebagai eyebags ini melibatkan 2 keadaan. Mata bengkak berlaku disebabkan oleh tindak balas keradangan kepada alergen, jangkitan atau kecederaan. Mata bengkak adalah kelopak mata yang lembut disebabkan oleh pengekalan cecair, kekurangan tidur, atau ciri genetik seperti kendur atau kerana faktor usia.
Bahayakah bengkak di bawah mata ini? Bagaimanakah ia boleh berlaku? Bengkak di sekeliling mata berlaku disebabkan oleh pengumpulan cecair (edema) yang berlebihan dalam tisu kulit di sekelilingnya kerana kulit di sekeliling mata sangat nipis, bengkak dan perubahan warna boleh menjadi agak ketara.
Mata bengkak biasanya disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk:
- Pengambilan garam yang berlebihan, yang menyebabkan pengekalan cecair
- Masalah resdung
- Dehidrasi
- Keletihan dan kurang tidur
- Tekanan
- Menangis
- Penuaan
- Genetik yang diwarisi
Malangnya, ramai individu mengalami mata bengkak kerana faktor genetik. Bengkak mata disebabkan oleh lemak tisu yang biasanya melindungi mata di dalam soket mata tulang tengkorak yang menolak ke hadapan dan mengisi ruang di bawah mata apabila usia semakin meningkat.
Hal ini berlaku kerana, proses penuaan menyebabkan penipisan membran atau “septum” yang biasanya menahan lemak di kedua-dua kelopak mata atas dan bawah. Apabila membran menipis, lemak menjadi hernia dan menolak ke hadapan, menyebabkan mata bengkak dan lingkaran hitam di bawah mata. Biasanya, mata bengkak boleh hilang sendiri atau selepas melakukan rawatan asas di rumah. Tetapi, mata bengkak adalah merupakan simptom keadaan lain yang mungkin memerlukan pemeriksaan daripada pakar mata.
Siapakah yang cenderung untuk mempunyai mata bengkak (puffy eyes)?
Sesiapa sahaja cenderung untuk mempunyai mata bengkak (puffy eyes) tidak kira umur tetapi biasanya terjadi dalam kalangan orang dewasa akibat faktor kesihatan, tekanan perasaan, umur, jenis kulit dan genetik yang diwarisi.
Apakah langkah pencegahan dan rawatan yang sesuai untuk merawat mata bengkak (puffy eyes)?
- Dapatkan tidur yang cukup
Kehilangan tidur yang kronik boleh mengakibatkan bengkak dan/atau lingkaran hitam di sekeliling mata. Anda mestilah mendapatkan tidur sekurang-kurangnya 7 hingga 9 jam sehari.
- Ubah diet anda
Menurut Persatuan Jantung Amerika (AHA), kebanyakan orang dewasa tidak boleh mengambil makanan yang mengandungi lebih daripada 2,300 miligram garam setiap hari. Sekiranya anda mempunyai tekanan darah tinggi, anda harus kurangkan pengambilan garam dalam pemakanan lebih daripada jumlah yang dinyatakan.
- Cuba produk penjagaan kulit baru
Beberapa produk penjagaan kulit over-the-counter (OTC) boleh meremajakan dan menyembuhkan kulit. Cuba krim mata dan topeng mata untuk membantu mengecutkan saluran darah di kawasan bawah mata. Anda juga harus mencari produk, seperti krim retinol, yang mempunyai kolagen sebagai bahan. Kolagen adalah protein penting untuk kulit yang sihat. Selain itu, bahan-bahan terbaik untuk mengatasi kantung mata dan bengkak ialah kafein, ekstrak teh hijau dan antioksidan seperti vitamin C dan E. Bahan-bahan ini membantu menyempitkan saluran darah untuk mengurangkan bengkak. Disamping itu, anda juga boleh menggunakan produk yang mengandungi peptida sebagai bahan di dalam krim mata. Contoh krim mata yang mudah didapati di farmasi ialah Simple Revitalising Eye Roll-on, Nurish Organiq Brightening Eye Serum dan Dr Dermis Hydraeutic Oligopeptide Eye Cream-Gel. Produk-produk ini bukan sahaja mempunyai bahan yang bagus untuk mata bengkak, malahan ia juga berpatutan dan mudah didapati di farmasi seperti di Watsons dan Guardian.
- Gunakan cold compress
Cold compress boleh membantu anda menghilangkan bengkak mata. Anda boleh mencuba topeng penyejuk. Selain itu, penggunaan produk di rumah lain juga boleh mengurangkan keradangan di sekeliling mata anda seperti:
- Pek ais
- Air sejuk
- Uncang teh sejuk
- Beg sayur beku
- Perkakas/alatan dapur seperti sudu yang disejukkan
- Amalkan penjagaan diri
Jika kantung bawah mata anda bengkak disebabkan menangis, cuba hilangkan tekanan dengan bermeditasi, menulis jurnal, bersenam dan lakukan aktiviti yang meningkatkan endorphin pada masa yang sama membantu mengurangkan tekanan.
Nota: Jika anda mendapati diri anda kerap menangis kerana tekanan, pertimbangkan untuk berjumpa dengan ahli profesional tentang kesihatan mental. Terapi membantu menangani kebimbangan, kemurungan dan keadaan kesihatan mental yang lain.
- Kekal terhidrat
Satu lagi cara untuk mengurangkan mata bengkak adalah dengan memastikan anda minum air yang mencukupi setiap hari. Pengambilan air yang mencukupi dapat mengurangkan keradangan dan memastikan sistem dalam badan anda dapat berfungsi dengan baik. Minum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari untuk kekal terhidrat sepenuhnya.
- Ambil ubat alahan
Jika anda mengalami alahan bermusim atau mengalami reaksi alahan, anda mungkin memerlukan ubat alahan. Ubat alahan boleh membantu melegakan gejala alahan seperti bengkak di bawah mata.
- Bercakap dengan doktor
Jika ubat-ubatan di rumah tidak membantu bengkak pada mata anda untuk surut, dapatkan nasihat doktor. Anda mungkin mempunyai keadaan kesihatan yang boleh mereka kenal pasti dan rawat. Sebagai contoh, sekiranya mata anda kemerahan, doktor boleh mengesyorkan ubat titis mata. Jika anda mempunyai tiroid yang menyebabkan bengkak di sekeliling mata anda, merawatnya boleh membantu mengurangkan bengkak.
Kaedah Rawatan
- Pembedahan kelopak mata
Jika anda mempunyai bengkak yang sama di sekeliling mata seperti ahli keluarga anda, ia mungkin sifat yang diwarisi. Dalam kes ini, anda mungkin akan mempertimbangkan pembedahan kelopak mata untuk menghilangkan bengkak mata.
Mata bengkak akibat penuaan juga boleh dihilangkan dengan pembedahan kelopak mata kosmetik (blepharoplasty).
- Pengelupasan Kimia (Chemical Exfoliation) dan Penurapan Laser Kulit (Laser Skin Resurfacing)
Anda mungkin ingin berbincang dengan doktor mata atau pakar bedah kosmetik anda beberapa prosedur lain untuk mengurangkan kemunculan bengkak pada bawah mata dan lingkaran hitam di bawah mata. Ini termasuk pengelupasan kimia dan penurapan laser kulit.
- Krim Buasir
Salah satu ubat yang paling biasa digunakan untuk mata bengkak adalah krim buasir dan sapu pada kulit di sekeliling mata. Bahan aktif dalam ubat ini ialah phenylephrine, iaitu ubat yang menyempitkan saluran darah.
Mata bengkak bukanlah masalah yang serius tetapi (seperti yang telah disebutkan) ia boleh disalah anggap sebagai masalah biasa yang mungkin merupakan masalah kesihatan yang lebih serius. Oleh itu, kaedah terbaik untuk mengenal pasti masalah tersebut adalah dengan melakukan pemeriksaan dengan doktor mata anda untuk menentukan sama ada anda mempunyai masalah yang serius dan rawatan yang diperlukan untuk merawatnya.